PUTRAJAYA, 22 Julai - Kerajaan komited mempercepatkan pelaksanaan Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM) menerusi tiga pendekatan utama sebagai sebahagian usaha memastikan kelestarian sumber air negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pendekatan itu adalah secara menyeluruh, inklusif dan berasaskan bukti.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan, IWRM juga perlu bersifat inklusif dengan menekankan keperluan penyertaan aktif semua pihak berkepentingan.
Datuk Seri Fadillah Yusof berucap merasmikan Forum Air Malaysia 2025 - Foto FB Fadillah Yusof
Menurutnya, pendekatan secara menyeluruh termasuk pengurusan air dilaksanakan secara holistik merangkumi aspek bekalan, kualiti air, pengairan, pengurusan banjir serta pemuliharaan ekosistem.
"Pendekatan inklusif pula menekankan penyertaan aktif semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan, swasta, masyarakat sivil, institusi pendidikan dan komuniti akar umbi yang disifatkan sebagai amat mustahak.
"Sambutan Hari Air Sedunia 2025 Peringkat Kebangsaan yang telah menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat daripada pelajar, pemimpin agama, penjawat awam, hingga ke sektor swasta dalam satu platform advokasi nasional, adalah salah satu contoh pendekatan inklusif ini," katanya.
Datuk Seri Fadillah Yusof meninjau reruai di Forum Air Malaysia 2025 - Foto FB Fadillah Yusof
Datuk Seri Fadillah berkata, pendekatan berasaskan bukti bermaksud, keputusan dasar dan pelaksanaan program perlu berpandukan data saintifik, kajian impak serta indikator prestasi yang jelas.
Tegas beliau, ia sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) seperti yang ditegaskan dalam Deklarasi Menteri di Bali, Indonesia tahun lepas.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum Air Malaysia 2025, di sini hari ini.
Forum yang bertemakan “Memacu Pelaksanaan Pengurusan Sumber Air Bersepadu” itu berlangsung selama dua hari dan akan berakhir esok.