AYER KEROH, 22 Julai – Tiada trend peningkatan ketara dikesan bagi tiga penyakit utama berkaitan jerebu di Melaka setakat ini, meskipun negara sedang berdepan fenomena jerebu rentas sempadan.
Exco Kesihatan Negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata pemantauan rapi tetap dijalankan secara berterusan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, khususnya di klinik-klinik kesihatan sentinel dan Jabatan Kecemasan Hospital Melaka.
“Tiga penyakit berkaitan jerebu yang dipantau ialah asma, jangkitan selaput mata dan konjunktivitis, serta jangkitan saluran pernafasan atas (URTI). Berdasarkan analisis dari minggu epid ke-23 (Jun) hingga minggu epid ke-29 (19 Julai), tiada peningkatan ketara dikesan bagi penyakit-penyakit ini.
“Namun begitu, pemantauan tetap diteruskan dari semasa ke semasa selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Persidangan Kedua, Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15 di Seri Negeri, di sini hari ini.
Datuk Hee Sem turut menasihati golongan berisiko tinggi, termasuk warga emas, kanak-kanak dan pesakit kronik, supaya memakai pelitup muka dan mengamalkan langkah pencegahan sewajarnya.
Orang ramai juga diseru agar sentiasa peka terhadap situasi cuaca semasa dan mengikuti tip kesihatan yang disarankan oleh pihak berkuasa.