KUANTAN, 2 Oktober- Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengguna pakai garis panduan sedia ada, sekiranya situasi jerebu buruk melanda.
Arahan penutupan sekolah pula akan dikeluarkan, jika menerima cadangan atau nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata semua sekolah perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
"Kita memang sudah ada garis panduan kita dan kita kekal dengan garis panduan tersebut. Kita minta semua sekolah untuk patuhi garis panduan tersebut.
Jika Indeks Pencemaran Udara (IPU) lebih daripada 100, tiada aktiviti luar boleh dilaksanakan dan ikut garis panduan tersebut sebagaimana yang sering kita tegaskan garis panduan ini terpakai kepada semua dan mesti dipatuhi untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini," kata Fadhlina kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Mahrajan Al-Quran Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Kebangsaan, di sini.
(Foto FB Menteri)
Semalam, Ketua Pengarah Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata trajektori asap jerebu dari Kalimantan, Indonesia akan memberikan kesan kepada beberapa negeri di timur Malaysia, yang dijangka berlangsung selama beberapa hari bermula kelmarin.
Sementara itu, mengenai isu kekurangan guru Fadhlina berkata ia hanya bersifat sementara, malah usaha untuk menanganinya juga telah dilaksana.
"Isu kekurangan guru adalah isu yang sementara dan kita baru selesai temu duga untuk pengambilan "one-off" dan kini dalam proses pengambilan COS (contract of service).
Jadi, sebab itu saya kata ia adalah sifatnya sementara. Kita sentiasa melakukan unjuran bersama SPP untuk memastikan isu kekurangan guru dapat ditangani," tambah Fadhlina.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) sebelum ini, mengenai sekolah-sekolah di seluruh negara kini mengalami kekurangan lebih 20,000 guru.