HULU SELANGOR, 3 Ogos- Penantian selama 24 tahun akhirnya terjawab apabila seramai 730 penduduk Bandar Sungai Buaya, Hulu Selangor menerima geran hak milik individu perumahan daripada kerajaan negeri Selangor.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, pemberian itu memberi kelegaan kepada pemilik selepas pemaju asal projek terbabit gulung tikar pada 2008.
"Sebenarnya keputusan ini dibuat sebelum bulan 11 lagi dan semuanya berjalan dengan lancar dan berjaya diteruskan. Alhamdulillah, saya rasa ia menimbulkan kelegaan kepada penduduk dan masyarakat yang menerima geran mereka. Ini hasil yang mereka bayar, tawaran yang mereka buat sudah tertangguh 24 tahun.
Usaha berterusan kita sejak lima tahun terakhir membuahkan hasil dan memberikan kesan positif kepada kehidupan dan nasib Perbandaran Hulu Selangor. Saya harapkan ia membantu peningkatan kerjaya pembangunan di negeri Selangor," kata Amirudin kepada pemberita selepas majlis penyerahan geran di pejabat MJD Berhad di Bandar Sungai Buaya.
Jelas Amirudin, selain kerajaan negeri, penyelesaian isu itu turut melibatkan usaha pemilik tanah, Murna Jaya Development Berhad (MJD Berhad) dan gabungan badan bukan kerajaan bandar Sungai Buaya.
(Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari)