fb fb fb fb fb

 Isu gaji graduan TVET rendah dibawa ke mesyuarat MTVET

KUALA NERUS, 19 Jun- Bayaran kadar gaji permulaan yang kurang memberangsangkan dikenal pasti sebagai salah satu faktor utama pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia SPM yang tidak melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi-IPT, tidak berminat memilih Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional TVET.

Oleh itu, Kementerian Sumber Manusia akan membangkit isu kadar tangga gaji permulaan melibatkan lepasan graduan TVET dalam mesyuarat Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara-MTVET, akhir bulan ini.
 
Menterinya, V. Sivakumar berkata, usaha dilakukan itu adalah  selaras dengan hasrat kerajaan yang inginkan gaji minimum lepasan TVET tempatan, ditetapkan pada kadar RM3,000 sebulan.

Sekali gus berbeza dengan kadar tangga bayaran permulaan gaji bagi pelajar yang hanya mempunyai sijil SPM.

"Bila perkara ini dapat diselesaikan pihak industri, pihak industri mengiktiraf sijil atau diploma yang dimiliki oleh graduan daripada TVET ini, mereka diberi gaji setimpal.

"Maka ini secara automatik akan meningkatkan permintaan, untuk mengikuti program-program ini,"katanya.
 
Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi dialog bersama para wakil industri setempat di Institut Latihan Perindustrian ILP Kuala Terengganu, Kawasan Perindustrian Gong Badak.

Sementara itu, pihak Kementerian Sumber Manusia juga akan membangkitkan isu kurangnya minat di kalangan anak muda menyambung pengajian dalam bidang TVET, di sebalik permintaan pasaran yang tinggi dari sektor industri setempat.


(V. Sivakumar ketika mengadakan lawatan ke ILP Kuala Terengganu)

Media Baharu