fb fb fb fb fb

Isu doktor kontrak: Kerajaan pastikan penyelesaian menang-menang

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 2 April- Kerajaan akan memastikan situasi menang-menang dapat dicapai dalam penyelesaian isu perjawatan doktor kontrak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya akan membentangkan perincian mengenai perkara berkenaan kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Peringkat Tertinggi memaklumkan, Kementerian Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam mengadakan perbincangan menerusi jawatankuasa itu dalam usaha untuk mencari kaedah penyelesaian.

“Bagi kita, menyantuni doktor kontrak yang pada hemat saya harus dibela harus mengikut tatacara dan skim perkhidmatan kerajaan.

“Tidak ada masalah yang kita tidak boleh bincang dan selesaikan. Saya tahu masalah ini masalah lama tetapi saya yakin ianya boleh diselesaikan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Santunan Kasih Ramadan 2023 di Projek Perumahan Rakyat Seri Semarak, di sini.

(Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Santunan Kasih Ramadan 2023
di Projek Perumahan Rakyat Seri Semarak)

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata beberapa syarat skim baharu akan dibincangkan, jdan beliau berharapdoktor kontrak memberi peluang kepadanya yang diberi kepercayaan sebagai pengerusi jawatankuasa untuk menyelesaikannya.

Sebelum ini. sekumpulan doktor kontrak dilaporkan akan mengadakan mogok di seluruh negara bermula esok sehingga Rabu ini sebagai memprotes isu perjawatan mereka yang masih tergantung.

Media Baharu