fb fb fb fb fb

Barisan exco Melaka terdiri rakan politik Kerajaan Perpaduan - Ahmad Zahid

(Majlis Santunan Kasih Ramadan 2023 di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR)
Seri Semarak)

KUALA LUMPUR, 2 April- Barisan exco Kerajaan Negeri Melaka yang baharu akan disertai rakan parti politik Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengesahkan perkara itu memaklumkan, senarai exco negeri itu sudah dikemukakan kepadanya oleh Ketua Menteri Melaka baharu Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, jawatan Timbalan Exco juga dijangka akan diwujudkan untuk beberapa portfolio tertentu di negeri itu.

"Pada hemat saya, ini merupakan optik (perspektif) yang baharu bukan sahaja kita menyokong Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat tetapi juga di negeri,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Santunan Kasih Ramadan 2023 di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak di sini.

Katanya, meskipun Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri lepas tetapi atas semangat Kerajaan Perpaduan, parti itu berhasrat berkongsi barisan exco negeri bersama parti politik dalam kerajaan itu.

Ditanya sama ada bekas Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis yang sebelum ini dilapor mendakwa pertukaran Ketua Menteri Melaka yang baharu sebagai “tebuk atap”, akan digugurkan, Ahmad Zahid berkata beliau menyerahkannya kepada kebijaksanaan Ab Rauf.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid yakin Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan pada 14 Mei ini akan dapat menjalinkan hubungan lebih baik antara ahli semua parti politik dalam Kerajaan Perpaduan.

“Hakikatnya kita dalam kerajaan hari ini yang mempunyai komposisi pelbagai agama, kaum, bangsa dan latar belakang, harus menjalin rasa kekitaan dan kebersamaan dalam kalangan kita,” katanya.


(Majlis Santunan Kasih Ramadan 2023 di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak)

Pada majlis itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menyampaikan replika cek Bantuan Program, Aktiviti dan Kos Operasi kepada Maahad Tahfiz Dhiya’ul Islah berjumlah RM100,000, sumbangan RM10,000 kepada Surau Jumaat Al-Husna dan sumbangan tunai kepada 100 asnaf dengan jumlah keseluruhan RM10,000.

1,500 pelajar pusat tahfiz dan masyarakat setempat diraikan dalam majlis berkenaan.

Program itu turut menjadi lokasi kesembilan daripada 13 negeri Majlis Santunan Kasih Ramadan anjuran KKDW yang bermula pada 24 Mac lalu. ##

Media Baharu