fb fb fb fb fb

Isu blok Ambalat: "Jangan fitnah, habis orang kampung" - PM

(Anwar Ibrahim)

NILAI, 24 Jun- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal dengan tuduhan sesetengah pihak berkaitan isu tuntutan di sempadan blok Ambalat.

Beliau sekali lagi menegaskan perjanjian yang dicapai bersama Indonesia dalam lawatan dua hari Presiden Joko Widodo atau lebih dikenali Jokowi ke Malaysia pada awal Jun lalu tidak termasuk blok Ambalat.

"Ambalat dan Pulau Sebatik belum selesai. Saya tandatangani dengan Jokowi itu semua (perjanjian) yang lain, melainkan kawasan Ambalat dan Sebatik. Dia tidak setuju, saya tidak setuju, jadi saya kata tangguh yang itu. Tapi dia kata serah, serah Johor. Saya hubungi Tuanku Sultan Johor, saya kata Tuanku jangan bimbang kerana yang kita tandatangan itu tidak termasuk wilayah sempadan Johor, luar daripada tiga batu nautika dari sempadan Johor.

"Jangan fitnah, habis orang kampung. Itu isu serius kerana isu kedaulatan negara," katanya ketika berucap pada majlis Temu Anwar Negeri Sembilan di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata landskap politik negara perlu ditukar ke arah lebih baik bagi menjamin kesejahteraan dan kemampanan ekonomi masa hadapan.

Anwar menyambut baik sebarang perbezaan pendapat, namun perlulah ditegur secara baik.

"Saya perlukan sokongan ini, kerana saya nak tukar peta politik negara kita. Tidak setuju dengan saya tidak apa, tegur dengan baik, jangan hina, jangan fitnah," katanya.


(Anwar Ibrahim)

Media Baharu