JAKARTA, 4 Julai - Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin berkata cadangan Malaysia dan Indonesia membangunkan potensi ekonomi secara bersama (JD) di kawasan Laut Sulawesi belum lagi dimuktamadkan.
Beliau berkata pelbagai proses perlu diambil kira terlebih dahulu, terutamanya mendapatkan pandangan serta persetujuan daripada Kerajaan Sabah.
Mekanisme perundingan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sabah yang sedia ada akan digunakan sepenuhnya, termasuk Majlis Tindakan Perlaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Apapun, JD di Laut Sulawesi merupakan hal yang masih dalam pertimbangan dan sememangnya belum lagi dimuktamadkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Mohamad berkata, cadangan JD di Laut Sulawesi membabitkan ND6 dan ND7 atau dirujuk oleh Indonesia sebagai "Ambalat", dilaporkan memiliki simpanan sumber asli seperti minyak dan gas yang signifikan bukanlah sesuatu yang baharu.
Malah, katanya pada 2022 Perdana Menteri ketika itu pernah mengarahkan pihak Petronas untuk mempertimbangkan kajian mengenai cadangan JD berkaitan.
Terbaharu, Mohamad memaklumkan bahawa isu berkaitan blok ND6 dan ND7 turut dibangkitkan semasa lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jakarta pada 27 Jun.
“Perkara ini memang ada dibincangkan. Namun demikian, ianya belum lagi dimuktamadkan. Bahkan, Perdana Menteri sendiri menyebut bahawa kepentingan Sabah dalam perkara ini mesti diambil kira dan dilihat secara adil,” jelasnya.
Mohamad berkata, Malaysia dan Indonesia masih tidak boleh mencari gali kedua-dua blok ini berikutan ia masih dalam pertikaian dari sudut persempadanan maritim antara kedua-dua negara.
“Melihat kepada potensi ekonomi yang signifikan ini - sementara proses pemuktamadan persempadanan maritim di Laut Sulawesi antara kedua-dua buah negara berjalan - ada pihak mencadangkan agar Malaysia dan Indonesia membangunkan potensi ekonomi ini secara bersama,” katanya.
Mohamad menekankan bahawa proses untuk memuktamadkan sempadan maritim di Laut Sulawesi merupakan usaha jangka panjang dan kompleks, yang dilaksanakan menerusi sebuah Jawatankuasa Teknikal yang diterajui oleh Kementerian Luar.
Jawatankuasa dianggotai pelbagai agensi kerajaan termasuk Kerajaan Sabah, Majlis Keselamatan Negara (Sabah), Pejabat Peguam Negara (Sabah), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, serta agensi teknikal lain yang berkaitan.
Mohamad menegaskan bahawa Kerajaan Malaysia tetap komited untuk meneliti secara mendalam dan mencapai persefahaman bersama berhubung perkara ini melalui rundingan yang berteraskan mekanisme sedia ada.
Dalam apa jua perkembangan, kedaulatan negara, serta kepentingan strategik, khususnya melibatkan Sabah akan terus dijaga dan dipertahankan sebaiknya, tegas Mohamad.
Beliau berkata, perjanjian persempadanan maritim yang dimeterai dengan Indonesia pada 2023 tidak menjejaskan hak wilayah atau kedaulatan Malaysia ke atas perairan timur Sabah.
Triti Laut Sulawesi yang dimeterai pada 8 Jun 2023, dikenali sebagai Triti Sulawesi 2023, hanya meliputi kawasan di separa perairan wilayah di pantai timur Sabah dan tidak merangkumi Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.
“Perjanjian tersebut tidak meliputi kawasan yang dikenali sebagai blok ND6 dan ND7 atau dirujuk oleh Indonesia sebagai ‘Ambalat’, yang terletak dalam ZEE Malaysia sejauh 200 batu nautika,” katanya.
Mohamad juga menepis dakwaan kononnya Kerajaan Malaysia telah mengetepikan hak, serta kedaulatan Sabah kepada Indonesia susulan pemeteraian Triti Sulawesi 2023. -BERNAMA