KUANTAN, 16 Mei- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan turun padang ke negeri Pahang bagi membuat tinjauan berkaitan 'sekolah pulau' di Pulau Tioman, Jun depan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata tumpuan akan diberikan kepada usaha penambahbaikan, khususnya isu akses pendidikan di pulau.
Katanya, langkah itu menjadi satu lagi kelebihan negeri Pahang berdasarkan demografi yang ada iaitu sekolah-sekolah di pulau.
"Sekolah ni maknanya sekolah di pulau-pulau dan ia ada akses yang melibatkan pengangkutan air.
"Kita nak lihat sama ada akses ini menyebabkan anak-anak boleh ke sekolah ataupun tidak.
"Kedua kita mahu melihat keadaan pembangunan di sekolah dan juga perkara yang boleh ditambah baik di sekolah-sekolah tersebut.
"Ini bukan demografi asing di negeri pahang dan beberapa negeri lain yang akan kita lihat dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita selepas Majlis Jamuan Malam Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di sini.
Majlis Jamuan Malam Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 dirasmikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Fadhlina juga menyambut baik cadangan Wan Rosdy untuk meningkatkan bilangan Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) dan Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) di negeri itu.
Terdahulu, Wan Rosdy menerusi ucapannya berkata kemenjadian projek rintis K11 di Sekolah Kebangsaan RPS Betau di Kuala Lipis, memberi impak yang cukup baik.
Kadar keciciran pelajar orang asli di kawasan Jelai, Lipis yang dahulunya mencecah hingga lebih 40 peratus, kini berbaki kurang lima peratus.
"Sehubungan dengan itu, mungkin bila ada kelapangan, bajet yang cukup saya harap ianya dikembangkan lagi.
"Sebab di negara kita ini orang asli yang paling ramai adalah di Pahang selepas Perak yang paling ramai dan kadar keciciran masih tinggi.
"Jadi saya harap KPM dapat fikir-fikirkanlah untuk tambah lagi, paling tidakpun K9.
"Tempatnya buatlah kajian sama ada di Rompin ataupun di Pekan, atau di tempat-tempat lain," kata Wan Rosdy.
Usaha itu katanya dapat mengurangkan kadar keciciran pelajar, khususnya dalam kalangan masyarakat orang asli di Pahang.