PUTRAJAYA, 16 Mei - Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 akan diadakan pada 20 Julai ini di Istana Negara.
Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan memaklumkan kerajaan telah melantik Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil sebagai Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong.
Fahmi ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong berkata majlis istiadat pertabalan akan dimulakan dengan majlis bacaan surah Yasin dan doa selamat di Masjid Negara pada pukul 5.30 petang, 18 Julai ini.
Khutbah Khas akan dibacakan keesokannya pada solat Jumaat di Masjid Negara.
"Ini diikuti dengan majlis Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Sabtu, 20 Julai bermula pukul 10 pagi di Istana Negara.
"Pada hari sama, kerajaan akan menganjurkan Majlis Santapan Diraja pada pukul 8.30 malam di Istana Negara," kata JPM menerusi kenyataan.
Fahmi berkata, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong turut dijadual akan mengadakan lawatan ke Hospital Orang Asli di Gombak pada 23 Julai.
"Yang di-Pertuan Agong turut akan ke Pameran Raja Kita pada 25 Julai di Muzium Negara dan Majlis Jamuan Teh Diraja pada 27 Julai bertempat di Istana Negara," kata JPM.
Fahmi turut memaklumkan, Hari Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong ke-17 adalah pada 3 Jun dan tarikh berkenaan diwartakan sebagai cuti umum.
Bagaimanapun, Sultan Iskandar memperkenan supaya acara sambutan Ulang Tahun Keputeraan Rasmi baginda ditangguhkan dari Jun ke September bagi memberi keutamaan kepada Istiadat Pertabalan dan acara lain sempena Istiadat Pertabalan pada Julai.
Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu.