fb fb fb fb fb

Dua Ahli Dewan Negara angkat sumpah hari ini

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed (tengah) bersama Senator Datuk Nelson W Angang (kiri) dan Senator Robert Lau Hui Yew (kanan) selepas upacara mengangkat sumpah jawatan Ahli Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Mei- Dua Ahli Dewan Negara mengangkat sumpah jawatan di hadapan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Nur Jazlan Tan Sri Mohamed, hari ini.

Mereka ialah Setiausaha Agung Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Nelson W. Angang dan Ahli Dewan Negara yang dilantik semula, Robert Lau Hui Yew.

Pelantikan tersebut berkuat kuasa bermula hari ini hingga 15 Mei 2027 atas perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Datuk Nelson yang juga merupakan Ketua Bahagian UPKO Beaufort meluahkan rasa syukur atas pelantikan itu dan berkhidmat dengan lebih baik untuk rakyat.

"Saya berharap saya dapat mendokong dapat membawa isu-isu yang diutarakan oleh rakyat bukan sahaja di Sabah, tapi nasional isu semasa yang perlu dibawa di Dewan Negara ini.

"Tanggungjawab ini saya tahu tanggungjawab yang berat dan saya harap saya dapat menunaikan dengan sebaik mungkin", katanya.

Manakala, Datuk Nur Jazlan dalam ucapannya menyarankan agar Ahli Dewan Negara sentiasa menyediakan penyelidikan awal yang komprehensif dalam perbahasan di Dewan Negara.

Beliau turut menggalakkan penggunaan media sosial dengan lebih berkesan agar rakyat dapat mengikuti kandungan perbahasan masing-masing.

Pada sesi angkat sumpah itu, Dewan Negara turut bertakafur seketika atas pemergian Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal yang meninggal dunia pada 10 Mei lepas.

Datuk Nur Jazlan menyifatkan pemergian mendiang Datuk Mutang adalah satu kehilangan besar buat negara. Keperibadian yang mesra dan komitmen tinggi mendiang dalam mencurahkan khidmatnya kepada rakyat akan sentiasa dikenang.

ROSLINA BINTI DIN