PUTRAJAYA, 16 Mei- Lebih lima acara disusun bersempena dengan Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pada 20 Julai depan.
Dua acara dijadual berlangsung sebelum tarikh istiadat di Masjid Negara, Kuala Lumpur iaitu Majlis Bacaan Yasin pada pukul 5.30 minit petang Khamis pada 18 Julai.
Manakala, pada Jumaat pula acara diisi dengan Khutbah Khas dan Solat Jumaat pada pukul 1.15 minit tengah hari.
Jadual acara diumumkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang juga dilantik sebaga Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII.
"Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII dijadualkan pada hari Sabtu, 20 Julai, pukul 10.00 pagi bertempat di Istana Negara, Kuala Lumpur.
"Keempat... Majlis Santapan Diraja pada hari Sabtu, 20 Julai, pukul 8.30 malam, bertempat di Istana Negara, Kuala Lumpur," kata Fahmi selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan itu.
Beberapa pengisian lain turut dijadulkan termasuk Lawatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke Hospital Orang Asli Gombak pada Selasa, 23 Julai; Pameran Raja Kita di Muzium Negara pada 25 Julai dan Majlis Jamuan Teh Diraja pada 27 Julai, bertempat di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Fahmi berkata Hari Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah pada 3 Jun ini dan tarikh itu telah diwartakan sebagai cuti umum.
“Bagaimanapun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 telah mengampuni limpah perkenan supaya acara-acara Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Baginda ditangguhkan dari bulan Jun ke bulan September.
“Ini bagi memberi keutamaan kepada Istiadat Pertabalan dan acara-acara lain Sempena Istiadat Pertabalan yang akan berlangsung pada bulan Julai,” katanya.
Dalam pada itu, bagi memberi sentuhan lebih istimewa pihak jawatankuasa khas sedang menyelaras sejumlah pengisian menarik bagi tempoh beberapa minggu sebelum hari pertabalan Yang di-Pertuan Agong.
Pengisian itu merupakan simbolik ke arah menyemarak jati diri rakyat Malaysia untuk mencintai, menghargai serta menghayati kedaulatan negara bawah payung kesultanan Melayu.
"Kita semua sedia maklum, bahawa istiadat pertabalan adalah istiadat yang cukup istimewa dan disaksikan sekitar lima tahun sekali. Semestinya rakyat Malaysia mendambakan satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan.
"Istiadat pertabalan ini adalah istiadat yang penuh simboliknya dan mungkin tidak selalu kita dapat saksikan. Maka inilah peluang yang baik untuk rakyat Malaysia memahami dengan lebih mendalam dan memupuk rasa cinta terhadap institusi diraja dan bagaimana ia diamalkan di Malaysia bawah konsep Raja Berperlembagaan," katanya.