LANCHANG, 1 Februari- Isteri pelakon terkenal Allahyarham Abdul Kadir Abdul Manaf atau popular dengan watak Pak Jabit, kini terpaksa bergantung dengan mesin oksigen, sejak Disember lalu.
Raja Maharani Raja Jaafar, 70 tahun, mengalami masalah paru-paru selepas batuk berpanjangan.
Ketika menceritakan keadaannya, Raja Maharani mengakui tidak selesa dengan pemakaian tiub di hidung sepanjang masa, namun lega kerana dapat bernafas dengan baik berbanding sebelum ini.
Kini, beliau dijaga anaknya, Abdul Khalid Putera Abdul Kadir, 33 tahun, selain dibantu adik iparnya di Kampung Rantau Panjang, Lanchang, di Temerloh.
Abdul Khalid ketika ditemui berkata, selain memerlukan susu khas, ibunya itu turut berdepan cabaran lain, antaranya apabila bekalan elektrik terputus.
"Penyakitnya dikesan lapan bulan lalu, doktor sarankan pakai oksigen, dan ianya perlu dipasang sekurang-kurangnya 15 jam sehari supaya dapat stabilkan oksigen dalam badan.
"Buat masa sekarang ni mesin ni kita sewa RM320 sebulan, deposit dia RM500 kami kutip dalam kalangan adik beradik untuk tanggung semua ini,"kata Abdul Khalid.
Menurutnya, buat masa ini, mesin yang digunakan itu terpaksa disewa daripada farmasi dengan bayaran 320 sebulan dan pembelian mesin baharu dianggarkan bernilai RM4,000.
Setakat ini, segala perbelanjaan ditanggung bersama adik-beradiknya dan beliau sedang dalam proses mendapatkan bantuan untuk ibunya.