fb fb fb fb fb

Majikan digesa pindah pekerja asing ke CLQ, elak kacau ganggu penduduk

Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) di RTS Link, Johor Bahru

JOHOR BAHRU, 1 Februari- Tempoh masa dua bulan diberikan kepada majikan di Johor yang menggajikan pekerja warga asing untuk menempatkan mereka ke Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ).

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia, Mohd Hairi Mad Shah berkata, tindakan tegas mengikut Akta 446 akan dikenakan kepada majikan, jika gagal bertindak selepas tamat tempoh tersebut.

Pihaknya juga akan berjumpa dengan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Mad Shukor bagi memastikan kawasan residen tidak dihuni pekerja asing.

Penempatan ke CLQ perlu dibuat memandangkan banyak aduan kacau ganggu, bising dan kotor diterima selepas majikan membenarkan pekerja asing menghuni kawasan perumahan rakyat.

Ujar beliau, situasi itu menyebabkan penduduk sekitar tidak selesa dan CLQ yang dibina ibarat projek gajah putih terutamanya di Senai dan Pasir Gudang.

"CLQ ini (dikhuatiri) akhirnya dijadikan (projek) gajah putih kerana majikan, pemaju dan sebagainya ingkar dengan perkara yang disyaratkan.

"Saya nak perkasakan (tekankan) kerana di sinilah pekerja-pekerja berehat atau membuat apa sahaja. Sekiranya ada masalah kesihatan, CIQ ini macam one stop center (pusat sehenti) untuk pekerja asing.

"(Jadi), alangkah baiknya kalau majikan-majikan menepati syarat," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat CLQ di RTS Link, sini.

Mohd Hairi berkata, aduan kacau ganggu dan bising meningkat di seluruh negeri itu terutama pada pasca COVID-19.

SITI AISHAH BINTI MD ISA