fb fb fb fb fb

Kerajaan, swasta giat kerjasama laksana program perpaduan - Aaron

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang

SUBANG JAYA, 1 Februari- Kerajaan akan mempergiatkan kerjasama strategik bersama sayrikat swasta menerusi pelaksanaan program bagi mengekalkan perpaduan masyarakat di negara ini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata kerjasama itu penting bagi merapatkan jurang antara rakyat pelbagai kaum dan agama serta memupuk nilai-nilai MADANI yang menjadi teras kepada pembinaan Komuniti Rahmah.

“Kalau kita ingin mengadakan program yang melibatkan masyarakat berbilang kaum, kita perlu juga babitkan syarikat-syarikat besar yang secara tidak langsung dapat mempromosikan produk mereka.

"Harapan kita supaya syarikat-syarikat besar ini dapat membantu kita," katanya.

Aaron turut memaklumkan sebanyak 661 program yang bertujuan mewujudkan platform dan tapak integrasi bagi meningkatkan interaksi sosial antara rakyat telah dilaksanakan pada tahun lepas dan pihaknya menyasarkan untuk melangkaui angka tersebut pada tahun ini.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan kempen Mydin Kongsi Meriah sempena sambutan Tahun Baru Cina di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Aaron menyaksikan penyerahan sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records kepada Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) atas pencapaian syarikat pasar raya itu mengedarkan dan mencantumkan lebih 100,000 kraf naga kertas sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K. Saraswathy; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze serta Pengarah Eksekutif Mydin, Datuk Murad Ali Mydin dan Ahimmat Mydin.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI