BAITULMAQDIS, 23 September - Israel terus memperlihatkan sikap angkuh apabila menegaskan tidak akan membenarkan flotila kemanusiaan ke Gaza memecah sekatan laut haram yang dikenakan rejim itu sejak hampir dua dekad.
Rejim Zionis mendakwa flotila berkenaan dianjurkan bagi memenuhi agenda Hamas, sekali gus menafikan hasrat murni untuk menyampaikan bantuan kepada rakyat Gaza yang sedang menderita akibat pengepungan berterusan.
“Israel tidak akan membenarkan mana-mana kapal memasuki zon pertempuran aktif dan melanggar sekatan laut yang kononnya sah. Kapal-kapal tersebut hanya dibenarkan berlabuh di Ashkelon sebelum bantuan disalurkan ke Gaza,” menurut kenytaaan itu.
Tindakan itu sekali lagi membuktikan kezaliman Israel yang berdegil menafikan hak rakyat Palestin menerima bantuan asas, walaupun desakan masyarakat antarabangsa semakin lantang menuntut keadilan.
Flotila dikenali sebagai Global Sumud Flotilla itu membawa beberapa tokoh terkenal pro-Palestin termasuk aktivis iklim Sweden, Greta Thunberg. Ia berlayar dari Tunisia awal bulan ini selepas beberapa kali berdepan kelewatan.
Misi tersebut bertujuan menembusi sekatan haram Israel dan menghantar bantuan terus ke Gaza. Namun, rejim Zionis terus cuba menyekat solidariti global yang semakin kukuh menyokong Palestin.
Sebelum berangkat, flotila itu mendakwa dua kapalnya diserang dron tindakan tidak berperikemanusiaan yang mencerminkan kebimbangan Israel terhadap usaha masyarakat antarabangsa membantu Gaza.
Terdahulu, Israel turut menggagalkan dua cubaan flotila aktivis antarabangsa untuk memasuki Gaza melalui laut pada Jun dan Julai lalu, menambah lagi bukti sikap zalim dan ketakutan rejim Zionis terhadap kebangkitan solidariti dunia terhadap Palestin.-AFP