fb fb fb fb fb

Malaysia catat skor 75 dalam 'Robust Data Governance'

Teo Nie Ching

KUALA LUMPUR, 23 September - Malaysia mencatatkan peningkatan skor kepada 75 bagi Indeks Robust Data Governance bawah GSMA Digital Nation Index, sekaligus mencerminkan rangka kerja peraturan mantap serta komitmen kerajaan dalam melindungi data, privasi dan membina kepercayaan.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, pencapaian itu menonjolkan usaha berterusan Malaysia dalam mewujudkan ekosistem digital yang selamat dan diyakini.

"Laporan yang dibentangkan hari ini menekankan beberapa bidang utama yang perlu ditambah baik, bermula dengan infrastruktur digital.

"Pengendali rangkaian mudah alih negara telah meletakkan asas yang kukuh untuk inovasi, dan kita mesti meneruskan momentum ini," katanya ketika berucap pada Digital Nation Summit Kuala Lumpur (ASEAN Edition) 2025 di ibu negara hari ini.

Beliau turut mengiktiraf peranan tenaga kerja berkemahiran dan berdaya tahan dalam menyokong pembangunan digital negara.

"Rakyat adalah aset terbesar kita, dan dalam ekonomi digital yang pesat berubah, mereka tahu bahawa pembelajaran tidak pernah terhenti," jelasnya.

Beliau menegaskan kepercayaan digital adalah asas pembinaan negara digital di rantau ini.

"Bagi ASEAN, membina kepercayaan digital bermakna memastikan privasi data, memperkukuh keselamatan siber, dan melindungi daripada ancaman yang semakin berkembang," katanya.

Nilai ekonomi digital ASEAN kini dianggarkan sekitar AS$300 bilion, dan dijangka melebihi AS$1 trilion menjelang 2030.

Sehubungan itu, ASEAN perlu memanfaatkan teknologi transformasi seperti kecerdasan buatan (AI), internet benda (IoT), data raya, rantaian blok (blockchain) dan pengkomputeran awan (cloud computing) untuk membangunkan komuniti digital yang inovatif dan inklusif.

Teo turut memberi amaran mengenai cabaran keselamatan siber dan penipuan dalam talian yang semakin meningkat di rantau ini.

"Pada tahun 2024, purata kos pelanggaran data di ASEAN telah mencecah lebih daripada AS$3 juta, manakala kerugian berkaitan penipuan di Asia berjumlah AS$688.4 bilion," katanya.

Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan kerjasama serantau kerana transformasi digital tidak boleh ditangani secara bersendirian.

"Transformasi digital melangkaui sempadan dan batasan. Ancaman keselamatan siber, penipuan, dan tadbir urus AI adalah cabaran yang tidak mampu ditangani oleh mana-mana negara secara bersendirian," tegasnya.

Bertemakan Forging ASEAN's Digital Future: Technology for Trust and Transformation, sidang selama dua hari itu memberi tumpuan kepada isu kepercayaan digital, AI, inovasi industri dan keselamatan siber bakal membentuk masa depan digital serantau, dengan Malaysia komited memainkan peranan utamanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI