(Foto hiasan)
KUALA LUMPUR, 25 November- Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) Tahun 2022 kali kedua ditangguhkan kepada 5 Disember depan.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam kenyataan memaklumkan bahawa ujian tersebut sepatutnya diadakan pada 28 November, namun ditangguhkan kerana cuti peristiwa pada tarikh berkenaan.
“Penangguhan itu dibuat berdasarkan pengumuman cuti peristiwa pada 28 November oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.
“Ujian itu membabitkan subjek UPKK 02/01 Ulum Syari’ah (Aqidah dan Ibadah) yang berlangsung pada pukul 2.15 hingga 3.45 petang,” katanya.
JAKIM menambah pihaknya amat prihatin dengan keputusan yang telah ditetapkan dan menghargai komitmen semua pihak dalam melaksanakan UPKK Tahun 2022.
(Siaran media JAKIM)