KUALA LUMPUR, 20 Oktober- Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim menerima anugerah berprestij, CEO Champion (SME) sempena 'Life at Work Awards' (LAWA) 2023.
Anugerah berkenaan adalah pengiktirafan terhadap kepimpinan Irmohizam dalam mempromosikan kepelbagaian, ekuiti dan rangkuman (DEI) di tempat kerja.
Menerusi kenyataan, Irmohizam berkata beliau berbesar hati menerima anugerah itu yang menekankan kepentingan mewujudkan persekitaran kerja inklusif dan memperkasa tenaga kerja.
"Pengiktirafan itu juga bukti komitmen kami yang tidak berbelah bahagi di WTCKL untuk mengutamakan warga kerja dan memupuk budaya kepelbagaian serta keterangkuman.
"Saya komited untuk meneruskan usaha kami dalam memacu perubahan positif dan menyokong kemajuan kepelbagaian, ekuiti dan keterangkuman di tempat kerja serta di mana sahaja," kata Irmohizam.
Majlis anugerah tersebut dirasmikan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar dalam satu majlis, semalam.