KUALA TERENGGANU, 20 Julai - Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) terus memperkasa kemahiran dan kefahaman berkaitan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan masyarakat, khususnya sektor penyiaran, media dan penjawat awam.
Sebanyak 30 peratus daripada kursus yang ditawarkan tahun ini memberi tumpuan kepada teknologi AI, selaras dengan perkembangan semasa dalam sektor komunikasi dan pendidikan.
Pengarah IPPTAR, Roslan Ariffin berkata, bagi membangunkan AI, latihan berkaitan bukan hanya kepada golongan media dan penjawat awam, malah turut mendekati pelajar di institusi pengajian tinggi serta guru-guru sekolah.
"Pendedahan awal kepada AI dapat membantu meningkatkan keberkesanan pembelajaran dan produktiviti negara," katanya.
IPPTAR turut menjalin kerjasama dengan agensi luar negara dalam membentuk dan memahami etika penggunaan teknologi AI untuk kegunaan tempatan.
Antara cabaran utama dalam memperluas penggunaan AI termasuklah mendapatkan bahan pengajaran yang sentiasa terkini serta mengubah persepsi sesetengah pihak yang masih melihat AI sebagai ancaman kepada kerjaya.
"Cabarannya untuk mengubah persepsi pemikiran bila kita bercakap mengenai AI, malah pada kumpulan media yang merasakan AI ni tak boleh memggantikan kami, atau AI tu sukar untuk kami serapkan, tapi sebenarnya tidak, sebaliknya AI ni tidak boleh memggantikan kita, itu satu, tidak boleh memggantikan mana-mana individu, dalam konteks profesionalisme, tapi apa yang boleh kita buat AI boleh membantu, pembantu khas setia kita menambah kecekapan," katanya.
Beliau ditemui RTM selepas menjadi tetamu Radio Terengganufm yang turut ditemani Pengarah Penyiaran Terengganu, Sabri Mansor, di sini.
IPPTAR merupakan sebuah institusi yang berperanan memberi latihan, penyelidikan, dan pembangunan dalam bidang penyiaran dan penerangan. Setiap tahun, lebih dua ribu peserta mengikuti pelbagai latihan yang ditawarkan.
IPPTAR juga kini sedang merangka garis panduan dan etika penggunaan AI bagi memastikan teknologi ini memberi manfaat kepada semua lapisan Masyarakat.
Buku etika penggunaan AI ini diharap dapat disiapkan tahun ini dan dilancarkan seawal tahun depan.