KUALA LUMPUR, 20 Julai – Program “Ukhuwah Kepimpinan Kerajaan MADANI” yang berlangsung di sekitar Port Dickson, Negeri Sembilan hari ini, menyaksikan penglibatan aktif anggota pentadbiran serta Ahli Parlimen Kerajaan MADANI dalam usaha memperkukuh hubungan dengan rakyat.
Program anjuran Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (Backbenchers Club – BBC) itu mengetengahkan semangat gotong-royong dan kebersamaan menerusi pelbagai aktiviti, antaranya gotong-royong perdana di Masjid PUSASDA, Kampung Telok Pelandok dan Kampung Pachitan, serta Jualan Rahmah yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga mampu milik.
Turut memeriahkan program adalah kenduri rakyat dan sesi ramah mesra santai bersama komuniti setempat. Ia menjadi platform interaksi terbuka antara pemimpin dan rakyat, seiring dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan nilai kasih sayang, saling menghormati dan perpaduan masyarakat.
Kehadiran Perdana Menteri dalam program berkenaan menyerlahkan iltizam kepimpinan Kerajaan MADANI yang berpaksikan rakyat; turun padang, mendengar rintihan masyarakat dan menyantuni mereka dengan tindakan yang berkesan.
"Program seperti ini dilihat sebagai cerminan nilai ihsan dan tanggungjawab sosial yang mendasari falsafah Malaysia MADANI.
"Justeru, Kerajaan MADANI komited untuk meneruskan pendekatan ini bagi membina negara yang lebih inklusif, adil dan bermaruah," menurut kenyataan Kelab Penyokong Kerajaan MADANI.