fb fb fb fb fb

Gangguan sistem e-gate bukan sabotaj – AKPS

Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain ditemui media di Terminal 1 KLIA, hari ini

SEPANG, 20 Julai – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menafikan sebarang unsur sabotaj dalam insiden gangguan sistem sistem pagar automatik (e-gate) di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor pada Jumaat dan semalam.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menjelaskan, siasatan awal mendapati gangguan tersebut berpunca daripada isu teknikal berkaitan integrasi sistem myIMMs dengan sistem keselamatan pihak berkuasa antarabangsa.

“Setakat ini tiada sebarang bukti menunjukkan ia berkaitan dengan sabotaj. Kami sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan punca sebenar dikenal pasti secara telus,” katanya ketika ditemui media di Terminal 1 KLIA, hari ini.

Beliau turut memaklumkan, sistem e-gate termasuk CIQ BSI, Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Terminal 1 serta Terminal 2 KLIA pulih sepenuhnya secara berperingkat, malam tadi dan operasi keluar masuk negara kembali berjalan lancar seperti biasa.

Insiden tersebut menjejaskan proses semakan ke atas pengunjung warganegara asing, namun tiada kesan terhadap pergerakan keluar masuk warganegara Malaysia.

“Rekod menunjukkan hampir 380,000 pengunjung terkesan akibat kelewatan. Kami kesal atas kesulitan ini dan segera menggerakkan kaunter manual bagi memastikan kelancaran urusan pelawat,” tambahnya.

Penyelenggaraan sistem dilakukan oleh pihak penyedia teknologi berkemahiran tinggi, dan langkah penambahbaikan akan dilaksanakan segera bagi mencegah gangguan berulang.

Jelas Suhaily lagi, AKPS memberi jaminan, keselamatan sistem negara sentiasa menjadi keutamaan dan tindakan pantas akan terus diambil dalam menangani sebarang isu teknikal.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE