SIK, 11 September- Kerajaan digesa menaikkan harga lantai Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada RM3.50 sekilogram dengan kadar segera.
Pada masa sama, kawalan getah sintetik yang dihasilkan secara besar-besaran perlu dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam industri getah ini.
Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman dalam kenyataan berkata, melihat kepada perkembangan semasa harga getah yang turun sehingga RM2.30 sekilogram, ia menimbulkan kebimbangan terhadap kepayahan hidup penoreh getah di daerah Sik, Baling, Padang Terap dan daerah-daerah lain seluruh Malaysia yang rata-ratanya adalah masyarakat kampung.
Tambahan pula keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu dan harga barangan yang terus mengalami kenaikan turut menekan para penoreh getah untuk menampung kehidupan seharian.
Kehidupan penoreh getah yang terdiri daripada golongan usia emas kian terhimpit bahkan mendepani cabaran kemelut kewangan keluarga bagi rawatan perubatan.
"Pendapatan penoreh getah semakin terjejas, ditambah pula musim hujan yang berpanjangan menyebabkan aktiviti harian mencari nafkah tidak dapat diteruskan," kata Tarmizi dalam kenyataan.
(Foto Fail)
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini boleh membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.
Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut sedang aktif pada tempoh itu, risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.
Selain itu, peningkatan taburan hujan turut disebabkan oleh fenomena La Nina dijangka berlangsung sehingga tahun depan.
"Terdapat segelintir penoreh mengambil upah menoreh di kebun getah milik orang lain dan hasilnya perlu dikongsi menyebabkan pendapatan bulanan terlalu sedikit dengan harga semasa.
Sebahagian mereka yang terhimpit terpaksa berjimat cermat membeli keperluan harian bagi meringankan perbelanjaan barang dapur memandangkan kurang hasil pendapatan daripada sumber torehan tersebut," tambah Tarmizi.
Menurutnya, keadaan ini membimbangkan kerana golongan penoreh getah akan beralih kepada tanaman komoditi lain yang lebih menguntungkan memandangkan ia hanya akan memberi impak buruk terhadap bekalan getah asli di Malaysia kelak.
"Justeru, bantuan kerajaan melalui pengaktifan IPG pada kadar tersebut dan kenaikan harga lantai getah merupakan suatu langkah yang sangat penting bagi membantu penoreh getah meneruskan kelangsungan hidup dan seterusnya dapat merealisasikan pembangunan ekonomi getah sebagai salah satu kepentingan kepada Keluarga Malaysia," tegas Tarmizi lagi.
(Kenyataan ADUN Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman)