(Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latif)
KUALA LUMPUR, 11 September - Usahawan tempatan perlu bersedia ke arah pendigitalan dalam perniagaan sebagai persediaan menghadapi persaingan dan meningkatkan kecekapan dalam operasi perniagaan.
Menurut penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latif, golongan tersebut perlu mengambil inisiatif untuk belajar dan menggunakan setiap peluang yang tersedia bagi memantapkan ilmu ekonomi digital.
"Namun secara realitinya peluang yang perlu diambil mereka ini agak sukar jika dilakukan secara bersendirian tanpa intervensi dan juga peluang dari pelbagai pihak, oleh itu bagi mereka yang memerlukan sedikit dorongan dan bantuan amat penting bagi usahawan mengambil segala peluang oleh kerajaan melalui pelbagai program pengetahuan dan kesedaran yang berkaitan pendigitalan seperti program #sayadigital supaya proses transformasi rakyat ke arah digital berjalan lancar," kata beliau ketika dihubungi Berita RTM, di sini hari ini.
Seiring dengan perkembangan ekonomi semasa, usahawan tempatan, Mohd Faizul Rohban Ahmad dan Anis Falina Jumaidi juga senada menganggap platform digital merupakan medium yang paling penting untuk memasarkan produk mereka hingga ke peringkat global.
(Foto fail)
"Hari ini dunia pendigitalan sangat berkembang dengan pesat, sebagai seorang usahawan kita seharusnya merebut peluang ini untuk memasarkan produk kita ke seluruh negara tanpa kita perlu melalui proses yang sangat memenatkan, sebagai seorang usahawan ada banyak kempen-kempen atau geran-geran yang disediakan pihak kerajaan untuk agensi-agensi berkaitan maka jangan sia-siakan untuk memasarkan produk anda ke seluruh dunia, produk Malaysia ada di seluruh dunia," kata Mohd Faizul.
"Sebagai usahawan saya melihat kepentingan menggunakan platform digital sekarang ini sangat penting ini di mana kita dapat memperkasakan produk-produk kita supaya dilihat lebih kompetitif, bila kita gunakan platform digital ini kita boleh gunakan e-commerce (dagang) kita bukan saja pasarkan di Malaysia malah secara global di mana kita dapat perkenalkan produk kita di pasaran luar," menurut Anis Falina.
Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menyeru rakyat terutama usahawan supaya mengambil pelbagai peluang yang terhidang dalam ekonomi digital bagi mentransformasikan kehidupan mereka ke arah yang lebih baik.