KUCHING, 30 April- Semua pihak diseru supaya berani bersuara menentang gangguan seksual, demi mempertahankan maruah dan keselamatan masyarakat.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dalam satu kenyataan memaklumkan, setiap individu tidak kira golongan berhak untuk bertindak atas keselamatan dan maruah diri.
"Ia boleh dilakukan dengan berani bersuara apabila berdepan atau menyaksikan sebarang bentuk gangguan seksual, khususnya dalam usaha melindungi kanak-kanak dan wanita.
"Pada masa yang sama, saya komited untuk memperkasa keadilan melalui pelaksanaan penuh Tribunal di bawah Akta Gangguan Seksual," menurut kenyataan itu.
Kenyataan tersebut bagi mengulas insiden gangguan seksual di Kuching, melibatkan seorang pemandu e-hailing dan remaja perempuan berusia 15 tahun tular di media sosial.
Video tersebut menunjukkan pemandu terbabit meminta mangsa membuka tudung semasa dalam perjalanan pulang ke rumah.
Sehubungan itu, beliau turut mengajak wanita, lelaki, ibu bapa, pendidik dan rakan sekerja untuk bersama-sama membina persekitaran lebih selamat dan bermaruah.