fb fb fb fb fb

PR1MA giatkan promosi pemilikan rumah

KUANTAN, 11 September- Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) menyasarkan untuk membina 100,000 unit rumah mampu milik di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di seluruh negara.

Ia bagi menyahut aspirasi kerajaan dalam mencapai matlamat ‘Satu Keluarga, Satu Rumah’.

Justeru, PR1MA kini giat mempromosikan kediaman mampu milik di seluruh negara antaranya menerusi penganjuran Fiesta #PR1MAKita yang julung kali diadakan di Kuantan, Pahang.

Menurut Ketua Bahagian Hal Ehwal Korporat Perbadanan PR1MA Malaysia, Ezlina Adnan sehingga kini sebanyak 53,626 unit rumah mampu milik dibina membabitkan 63 projek di seluruh Malaysia.

"Menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), kerajaan sebenarnya menyasarkan 500,000 unit rumah. Di bawah PR1MA sahaja, kita menyasarkan 100,000 unit rumah dibina sepanjang RMKe-12.

Jadi, setakat ini, kita ada 63 projek seluruh negara dimana lebih 58,000 sedang dalam pembinaan dan ada beberapa kategori yang telah siap dalam perancangan," kata Ezlina kepada pemberita RTM pada program Fiesta #PR1MAKita yang berlangsung 9 hingga 11 September ini.


(Ketua Bahagian Hal Ehwal Korporat Perbadanan PR1MA Malaysia, Ezlina Adnan
berkata demikian ketika ditemu bual RTM)

Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang program itu berlangsung antaranya perkongsian oleh institusi kewangan, acara sukan, saringan kesihatan, aktiviti kanak-kanak serta persembahan artis tempatan.

Sementara itu, bagi pembeli rumah PR1MA di Residensi Gambang Baru 1, Muhammad Saiful Yong Abdullah dan Moh Yung Leong menyatakan keterujaan apabila berjaya memiliki rumah kediaman yang diimpikan sebelum ini.

"Alhamdulillah, perasaan saya amat bahagia dan gembira dengan rezeki ini. Saya bersyukur sangat dapat rumah ini," kata Saiful kepada RTM.


(Pembeli, Muhammad Saiful Yong Abdullah menyatakan keterujaan kepada RTM dengan
pemilikan rumah PR1MA)

"Lokasi PR1MA ini strategik, berdekatan dengan Universiti Malaysia Pahang (UMP) Gambang dan harga pun murah selain kawasan sini banyak premis perniagaan," kata Moh Yung Leong kepada RTM.

Program tersebut dijangka akan menjelajah ke seluruh negeri mengikut zon bagi memberi peluang kepada rakyat khususnya golongan belia untuk memiliki kediaman mampu milik dan berkualiti pada harga bermula RM100,000 hingga RM400,000 bergantung kepada lokasi serta jenis model rumah.

Media Baharu