fb fb fb fb fb

Integrasi pangkalan data sistem mySIKAP wujud sejak 2007 - JPJ

KUALA LUMPUR, 14 Februari- Proses pengintegrasi pangkalan data sistem mySIKAP Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama pihak berkuasa lain sudah wujud sejak 2007.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, proses penyepaduan pangkalan data mySIKAP itu membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

(Datuk Zailani Hashim/Foto fail Bernama)

"Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia ingin menegaskan bahawa, telah wujud proses pengintegrasian pangkalan data sistem mySIKAP JPJ dengan pihak-pihak berkuasa lain, termasuk pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT), sejak tahun 2007," kata Zailani menerusi kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan semalam bertajuk "Semua Pihak Mesti Sepakat Tentang Cukai Jalan, Lesen Memandu Digital, Kata Bekas KPN".

Terdahulu, memetik kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) pada 11 Februari, pihaknya menyambut baik Projek Rintis Lesen Kenderaan Motor Digital (e-LKM) dan Lesen Memandu Malaysia Digital JPJ yang telah diumumkan Menteri Pengangkutan.

"JSPT melalui peralatan MCOPS boleh melakukan semakan integrasi dengan sistem mySIKAP JPJ atau paparan kod QR untuk semakan nombor kenderaan dan nombor kad pengenalan," katanya.

Sementara itu, Zailani berkata projek pendigitalan berkenaan merupakan projek rintis dan akan memastikan usaha penambahbaikan secara berterusan inisiatif JPJ itu dilaksanakan.

"Ia demi memastikan keberkesanannya agar sentiasa memberikan manfaat yang signifikan kepada negara dan kepada seluruh masyarakat madani," katanya.

Media Baharu