fb fb fb fb fb

Insiden ragut nyawa pendaki negara di Everest satu iktibar

(Pendaki solo negara T. Ravichandran, 58, (tengah) disambut
kenalan rapat sejurus tiba di KLIA/BERNAMA)

SEPANG, 21 Mei- Misi Malaysia Everest 2023 yang meragut nyawa seorang pendaki negara, satu iktibar untuk memperkemas serta meningkatkan persediaan sebelum menawan gunung tertinggi di dunia itu.

Pendaki solo negara, Ravichandran Tharumalingam berpendapat, pelbagai aspek perlu ditambahbaik terutama dalam aspek keselamatan serta langkah menangani risiko perubahan cuaca, struktur dan bentuk muka bumi yang di luar jangkaan.

Para pendaki juga disaran sentiasa berinisiatif untuk mempersiapkan diri secukupnya bagi berdepan sebarang kemungkinan dalam misi pendakian.

"Selalunya kita yang tawan Everest. Tahun ini berbeza. Everest yang tawan kita.Luka kita tahun ini agak mendalam. Jadi, ini masanya untuk mengkaji, dan berfikir semula. Ada banyak lagi aspek yang lain yang perlu di 'study', diuruskan dengan betul, dengan tepat untuk mengurangkan risiko-risiko naik gunung Everest .


(Pendaki solo negara, Ravichandran Tharumalingam)

"Jadi, diharap semua akan ambil inisiatif untuk jangan pandang rendah pada Everest", katanya semasa sidang media sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau turut berkongsi detik pertemuan akhirnya dengan rakan-rakan pendaki senegara, sebelum salah seorang rakan pendaki daripada pasukan Misi Malaysia Everest 2023, Allahyarham Leftenan Kolonel Ag Askandar Ampuan Yaacob disahkan meninggal dunia dalam misi tersebut.

Kelihatan sebak semasa ditemui media, Ravi berharap supaya seorang lagi pendaki orang kurang upaya (OKU) Muhammad Hawari Hashim yang dilaporkan hilang dalam misi sama, segera ditemukan.

"Kita tidak pernah kehilangan orang sebelum ini di Everest. Ini adalah kali pertama, kita terpaksa melepaskan dua orang kawan di Everest. Selama ini kita dengar orang lain dari negara lain. Tetapi pada masa ini saya berada di hadapan mereka. Saya menamatkan misi ini.

"Saya juga menghadapi keadaan yang mencabar, keadaan cuaca yang agak ekstrem dan pada 18, hari seterusnya saya sedang menghala ke gunung kedua, Awang Iskandar dan juga Hawari juga mengalami keadaan yang sukar", katanya.

Ravi menyertai Ekspedisi Himalaya Sports Everest-Lhotse 2023 dalam cubaan melakar rekod negara sebagai pendaki Malaysia pertama menawan puncak Gunung Lhotse selepas mengibarkan bendera di puncak Gunung Everest, dengan hanya mengambil masa 24 jam.

Beliau berjaya menawan puncak gunung Everest, namun gagal menyempurnakan misi menawan gunung Lhotse, selepas kecederaan lama yang dialaminya pada 2006 berulang sebaik tiba 200 meter menghampiri gunung keempat tertinggi dunia itu.

Media Baharu