PENGKALAN HULU, 15 April – Polis Perak mengesahkan kejadian melibatkan seorang anggota polis terkena pancutan air ketika menjalankan tugas berlaku semasa Sambutan Songkran Peringkat Kebangsaan yang diadakan di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Superintendan Zulkepli Ibrahim berkata, kejadian berlaku ketika anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sedang mengiringi kenderaan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Menurut beliau, pancutan air itu adalah sebahagian daripada aktiviti para peserta semasa majlis perasmian berlangsung.
“Insiden tersebut tidak bertujuan mendatangkan ancaman atau bersikap kurang sopan terhadap anggota polis yang sedang bertugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan komen tidak harmoni berhubung kejadian itu.
Terdahulu, tular satu video berdurasi 36 saat yang mendakwa insiden tersebut berlaku di Raub, Pahang, melibatkan sekumpulan lelaki yang didakwa bertindak biadab terhadap anggota polis.
Bagaimanapun, siasatan mendapati lokasi sebenar kejadian adalah di Pengkalan Hulu, Perak dan tiada sebarang unsur jenayah atau salah laku dalam kejadian tersebut.