KUCHING, 15 April- Penduduk sekitar Kuching kini boleh menikmati satu lagi kemudahan pengangkutan awam apabila laluan kedua perkhidmatan BAS.MY Kuching memulakan operasi hari ini.
Menurut kenyataan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak, laluan baharu dikenali sebagai Q-0-1-B itu menghubungkan Stesen Bas Saujana ke kawasan Malihah, melibatkan jarak perjalanan sejauh 34 kilometer merangkumi 28 perhentian.
Apa yang menarik, laluan berkenaan turut dilengkapi dengan enam buah bas baharu mesra OKU, seiring usaha untuk menjadikan sistem pengangkutan awam lebih inklusif dan mesra komuniti.
"Orang ramai boleh mendapatkan jadual perjalanan lengkap melalui Facebook rasmi LPKP Sarawak dan BAS.MY Kuching," menurut kenyataan itu.
Pengerusi LPKP Sarawak, Michael Kong Feng Nian bersama Pengarah, Cornelia Wong Chui turut turun padang hari ini bagi meninjau kelancaran operasi laluan baharu tersebut.
Untuk rekod, laluan pertama BAS.MY Kuching telah mula beroperasi sejak 5 Mac lalu, melibatkan perjalanan dari Open Air Market ke Serian.
Perkhidmatan BAS.MY adalah sebahagian daripada Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti, inisiatif bawah Kerajaan Persekutuan yang dilaksanakan secara berfasa di 10 laluan utama sekitar Bandaraya Kuching.