fb fb fb fb fb

Isu capaian internet: Telco perlu selesaikan secara bulanan, ikut negeri

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 April-Semua syarikat telekomunikasi (telco) diarahkan menyelesaikan isu capaian internet secara berperingkat mengikut negeri secara bulanan serta fokus kepada penyelesaian jangka panjang.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata tindakan itu wajar memandangkan syarikat telco telah menandatangani perjanjian perkongsian Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN) 4G 6 Hala.

"Hasrat saya berpandukan kepada prinsip, di mana ada jalan, di situ mesti ada internet. Kita mampu melaksanakannya kerana syarikat telekomunikasi telah menandatangani memorandum persefahaman bagi membolehkan mereka berkongsi rangkaian menerusi MOCN 4G 6 Hala.

"Langkah seterusnya ialah melaksanakan pengarahan bulanan kepada syarikat telekomunikasi supaya menyelesaikan isu capaian internet secara berfasa mengikut negeri," katanya kepada media, di sini, hari ini.

Mengenai capaian internet di Ayer Kuning pula, Fahmi memaklumkan beberapa lokasi telah dikenal pasti berkait isu berkenaan

Antaranya melibatkan perkampungan Orang Asli yang masih berdepan masalah liputan.

Jelasnya, isu berkenaan hanya membabitkan beberapa penyedia perkhidmatan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengeluarkan arahan kepada syarikat terlibat untuk mengambil tindakan segera.

" Maka saya minta MCMC meneliti data sedia ada melalui aplikasi Nexus iaitu data dalaman kedua melalui penyedia perkhidmatan seperti Ookla yang dapat mengenal pasti lokasi capaian internet lemah", katanya kepada media di sini.

Fahmi turut menjelaskan aduan mengenai masalah capaian internet rendah bukan sahaja diterima melibatkan Ayer Kuning malah juga banyak kawasan lain.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD