CHERAS, 12 September - Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Bandar Tun Razak hari ini tampil membuat dua laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras berhubung dua insiden berasingan yang mencetuskan kebimbangan awam.
Laporan pertama berkaitan insiden yang berlaku di Kampung Sungai Baru melibatkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Sulizmie Affendy Sulaiman yang didakwa telah dibaling dengan objek keras sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian kepala ketika bertugas.
Laporan kedua pula dibuat terhadap satu rakaman video yang tular memaparkan seorang individu menyampaikan ucapan dalam satu perhimpunan, yang didakwa mengandungi elemen ugutan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Bandar Tun Razak, Kuek Po Guan, berkata pihaknya menggesa agar tindakan tegas diambil ke atas kedua-dua insiden tersebut.
"Saya menyeru pihak berkuasa, khususnya polis, mengambil tindakan yang tegas terhadap kedua-dua laporan yang telah dibuat oleh KEADILAN Cabang Bandar Tun Razak," tegasnya ketika ditemui pemberita di pekarangan IPD Cheras di sini.
Sementara itu, Naib Ketua Cabang KEADILAN Bandar Tun Razak, Jonathan Vela, menyifatkan perbuatan mencederakan pegawai polis sebagai satu tindakan yang melampau dan tidak wajar.
"Kerajaan telah memberikan ruang untuk bersuara, tetapi apabila mencederakan anggota, lebih-lebih lagi OCPD, itu sudah menyalahi undang-undang," ujarnya.
Tambah beliau, kenyataan berbaur ugutan yang tular dalam video tersebut juga perlu disiasat segera oleh pihak polis kerana ia boleh menggugat ketenteraman awam.
Turut hadir membuat laporan adalah Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Bandar Tun Razak, Kuek Zhe Han.
"Kami mengecam sekeras-kerasnya kedua-dua insiden ini. Ia bukan sahaja melibatkan kecederaan terhadap pegawai keselamatan, tetapi turut menggugat keamanan negara. Sebagai wakil AMK Wilayah, kami mendesak agar pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) segera mengambil tindakan susulan demi memastikan perkara seperti ini tidak berulang," tegasnya.