Isu tanah Kampung Sungai Baru, kerajaan komited selesai secara menyeluruh

PUTRAJAYA, 12 September -Kerajaan mengambil serius menyelesaikan isu pengambilalihan tanah di Kampung Sungai Baru secara menyeluruh dan mengikut lunas undang-undang, demi menjamin keselesaan penduduk yang telah menunggu sekian lama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, ia terutama penduduk yang telah menghuni rumah sementara hampir sembilan tahun dan masih menantikan kediaman tetap mereka.

Katanya, proses pengambilalihan tanah berkenaan telah dimulakan sejak tahun 2021 ketika pentadbiran terdahulu, namun kerajaan kini mengambil tanggungjawab untuk memastikan ia diselesaikan dengan adil dan telus.

“Kalau kita lihat, isu ini sudah berlarutan hampir sembilan tahun. Penduduk menunggu rumah baharu begitu lama, jadi kita mengambil tanggungjawab ini dengan serius untuk memastikan penyelesaiannya berlaku secara baik, berpandukan undang-undang dan akhirnya memberi keselesaan kepada penduduk,” katanya dalam Sidang Media Khas Mengenai Isu Kampung Sungai Baru di Menara Seri Wilayah, di sini.

Beliau berkata, meskipun 72 peratus penduduk telah bersetuju dengan pembangunan semula itu kerajaan tetap mendengar suara mereka yang tidak bersetuju. 

“Penduduk sendiri nyatakan tidak menolak pembangunan, sebaliknya ada yang mempertikaikan tentang pampasan. Bagi mereka yang tidak bersetuju, proses mahkamah adalah saluran terbaik. Yang penting, kerajaan memastikan pelaksanaan ini berpandukan peraturan. Matlamat kita adalah memberikan kehidupan lebih baik kepada penduduk dengan rumah yang lebih selesa, moden dan tetap mengekalkan identiti Melayu,” katanya.