KUALA LUMPUR, 11 Ogos - Semua pihak dinasihat untuk tidak terburu-buru membuat andaian berhubung insiden penggantungan bendera Malaysia secara terbalik yang tular baru-baru ini.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata tindakan menggantung bendera Malaysia secara terbalik tidak wajar dan salah dari segi tatacara pengibaran bendera negara seperti yang termaktub dalam Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, namun punca sebenar kejadian perlu dikenal pasti terlebih dahulu.
“Dalam semangat perpaduan, kita tidak seharusnya terburu-buru membuat andaian tanpa menunggu hasil siasatan yang lengkap,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Menurut Datuk Aaron, insiden itu mungkin berpunca daripada tindakan disengajakan, tetapi tidak menolak kemungkinan ia disebabkan kekhilafan atau ketidaktahuan orang awam mengenai cara yang betul untuk mengibarkan Jalur Gemilang.
Oleh itu, beliau menyeru individu ahli politik dan mana-mana pihak berkepentingan supaya mengelakkan perbuatan atau kenyataan berbentuk provokatif yang boleh memburukkan lagi keadaan.
“Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan menentukan sebarang tindakan atau penalti yang sewajarnya diambil.
“Namun, ia tetap menjadi satu pengajaran penting kepada kita semua agar lebih memahami dan menghayati simbol-simbol negara dengan sebaiknya. Semangat cintakan negara perlu dizahirkan dengan cara yang betul dan penuh hormat,” katanya.
Pada masa sama, Datuk Aaron berharap rakyat tidak takut atau ragu-ragu untuk memasang bendera susulan insiden itu, sebaliknya mengambil peluang untuk memahami tatacara yang betul dan terus menyokong kempen Kementerian Komunikasi ‘1 Rumah, 1 Jalur Gemilang’ sempena sambutan Bulan Kebangsaan.
Sebagai langkah pencegahan, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional telah diarah menggerakkan kempen kesedaran di kawasan Rukun Tetangga serta melalui Kelab Rukun Negara dan Sekretariat Rukun Negara bagi memastikan masyarakat benar-benar faham cara mengibarkan bendera negara dengan betul. - BERNAMA