KUALA LUMPUR, 11 Ogos -Cadangan menaikkan elaun guru takmir daripada kadar tuntutan maksimum sedia ada sebanyak RM900 kepada RM1,200 masih belum dapat dipertimbang buat masa ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr. Zulkifli Hassan menjelaskan, ia mengambil kira situasi kemampuan kewangan semasa negara serta keutamaan dalam pengurusan perbelanjaan kerajaan.
Mengulas lanjut beliau berkata, ketika ini kuota guru takmir telah dinaikkan daripada 4,000 kepada 5,000 orang.
"Soal menaikkan kepada 1,200 ataupun kepada 12 jam, kita telahpun membuat sedikit kiraan, sekiranya 5,000 guru takmir dinaikkan kepada RM1,200 sebulan, anggaran peruntukan diperlukan adalah sebanyak 72 juta. Dan ini melibatkan kenaikan lebih 33%. Oleh itu, kerajaan buat pada masa ini telah menaikkan kadar elaun tersebut tetapi menaikkan bilangan daripada 4,000 kepada 5,000 guru takmir. Doakan moga-moga kita dapat ekonomi yang lebih baik, pendapatan yang lebih lumayan, kita boleh menaikkan kadar elaun guru takmir." katanya dalam sesi soal jawab, di Dewan Rakyat.
Mengenai peruntukan untuk caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) pula, ia boleh dikenakan ke atas bayaran elaun diterima sekiranya individu atau guru takmir terwsebut tersebut mempunyai status bekerja bawah takrifan ditetapkan Akta KWSP 1991.
"Bagaimanapun, untuk guru takmir, mereka bukanlah berjawatan tetap mahupun bukan kontrak. Mereka dibayar mengikut perkhidmatan setakat beberapa kelas yang diajar, maksimumnya adalah RM900. Jadi setakat ini, kerajaan tidak bercadang untuk menyediakan skim perlindungan SOCSO bawah PERKESO kepada guru takmir kerana merekapun sudah mempunyai pekerjaan yang lain." katanya.