(FOTO FAIL)
KUALA LUMPUR, 4 Mac - Inisiatif Payung Rahmah merupakan contoh terbaik kerjasama antara kerajaan dan pemain industri dalam membantu meringankan kos sara hidup golongan berpendapatan rendah.
Jelas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, inisiatif tersebut akan diperluaskan agar golongan B40 memperolehi manfaat setara sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan dalam menangani permasalahan rakyat.
"Dengan apa yang kita buat ini, walaupun kecil dan kerdil tetapi saya beriltizam untuk terus memfokuskan terutama kepada golongan yang memerlukan supaya mereka dapat hidup dalam negara kita dan kos sara hidup dapat kita tangani sebaik mungkin," kata beliau ketika ditemui selepas menjadi tetamu dalam program Naratif Khas di Angkasapuri, di sini malam tadi.
Menerusi Program Menu Rahmah, penglibatan 1,142 premis kedai makan tidak termasuk premis makanan segera memeriahkan lagi pemilihan menu sedia ada yang ditawarkan.
Tambahnya, Inisiatif Payung Rahmah akan diperluaskan ke sektor-sektor lain seperti sektor perbankan, insurans, kesihatan, tekstil dan pembinaan.
(Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub ditemu bual
Berita RTM selepas menjadi tetamu dalam program Naratif Khas di Angkasapuri)
Dalam pada itu, para pembekal bahan mentah disaran agar turut serta menjayakan Inisiatif Payung Rahmah bagi merancakkan lagi inisiatif itu di kalangan pemain industri makanan dan minuman di negara ini.
Salahuddin berkata wujud keperluan untuk bekerjasama dengan pembekal bahan mentah bagi menjayakan program tersebut.
"Jadi, libat urus akan dibuat dengan pihak-pihak yang mengeluarkan, yang disebut sektor 'manufacturing' ini supaya kita dapat berbincang dengan mereka dan mereka juga dapat memberikan harga Rahmah kepada mana-mana peniaga, restoran, gerai yang menjayakan program menu Rahmah ini," kata beliau.
Jelasnya, KPDN akan terus mengkaji pelbagai kaedah bagi membantu menangani kos sara hidup jangka panjang termasuk menjalin kerjasama dengan agensi dan kementerian lain.
Terkini, Program Raya Rahmah menawarkan harga mampu milik yang bakal memanfaatkan golongan berpendapatan rendah sebagai persediaan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.