fb fb fb fb fb

Wanita warga emas korban keempat banjir di Johor

(Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat bercakap pada sidang media mengenai keadaan
terkini situasi banjir negeri Johor di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat/ Foto BERNAMA)

SEGAMAT, 4 Mac - Seorang wanita warga emas menjadi mangsa korban keempat akibat banjir di negeri Johor, petang semalam.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, mangsa ditemukan meninggal dunia dalam longkang di Batu Anam selepas dipercayai tergelincir.

Jelas beliau, mangsa dikenali sebagai A.Fatimah, 69 tahun, terdahulu telah ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasan berkenaan berikutan kediamannya antara yang terjejas banjir.

Namun mangsa dilaporkan telah keluar dari PPS tanpa pengetahuan sesiapa sebelum kehilangannya disedari jiran yang bertindak mencarinya.

(Lokasi kejadian mayat seorang wanita warga emas yang menjadi mangsa korban keempat banjir
di Johor selepas ditemukan meninggal dunia di tepi longkang di Batu Anam/ Foto BERNAMA) 

"Mangsa telah pun diletakkan di PPS walau bagaimanapun didapati tiada di PPS tersebut dan jirannya telah mencari dan menjumpai beliau telah meninggal dunia di tepi longkang, mungkin terjatuh dan sebagainya, siasatan kita akan teruskan" kata beliau dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat, di sini.

Kejadian itu sekali gus merekodkan empat kematian akibat banjir di negeri itu dengan satu kes kematian di Kluang dan tiga kes kematian di Segamat.

Justeru, Kamarul Zaman mengingatkan semua penduduk terjejas banjir untuk patuh dengan arahan pihak berkuasa dan memaklumkan jika ingin pulang ke kediaman masing-masing bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Media Baharu