KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Kerajaan memberi penekanan kepada pelaksanaan Inisiatif Karbon Biru bagi menyokong usaha mitigasi perubahan iklim, melindungi biodiversiti marin serta menjana manfaat sosioekonomi kepada komuniti pesisir pantai.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, inisiatif itu turut berpotensi mewujudkan peluang pertumbuhan ekonomi melalui pasaran kredit karbon biru, khususnya di Sabah yang mempunyai kawasan hutan bakau terbesar di Malaysia.
“Selain itu, ia memberi manfaat sosial ekonomi kepada komuniti pesisi pantai dan laut, serta membantu menjana pertumbuhan ekonomi menerusi pasaran kredit Karbon Biru.
"Dalam hubungan ini, Kerajaan Persekutuan akan membangunkan dasar atau garis panduan dan meneroka platform pemerdagangan kredit Karbon Biru, khusus bagi negeri Sabah. Kerajaan Persekutuan juga akan bersama dengan Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) dan Jabatan Perhutanan Negeri Sabah dalam memastikan pelaksanaan kredit Karbon Biru boleh mencapai matlamat dan sasaran", katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Anna Bell pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.