fb fb fb fb fb

RMK13: Ekonomi Biru diperkukuh, Sabah dijadikan hab utama

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Kerajaan akan memperkukuh pelaksanaan Ekonomi Biru sebagai sebahagian strategi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dengan Sabah dijadikan hab utama pembangunan sektor ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, tumpuan akan diberikan kepada sektor strategik termasuk perikanan, ekokultur, pembinaan dan pembaikan kapal, pelabuhan, pelancongan maritim serta Inisiatif Karbon Biru bagi meningkatkan daya saing ekonomi negara.

“Potensi Ekonomi Biru di Sabah akan dimanfaatkan dengan memperkasakan sektor perikanan dan ekokultur, perkapalan dan pelabuhan serta pelancongan pantai dan maritim.

"Hab Ekonomi Biru Sabah akan dibangunkan bagi menyokong pertumbuhan industri strategik yang telah dikenal pasti. Inisiatif Karbon Biru juga akan diteroka dengan memanfaatkan hutan paya bakau di Sabah yang meliputi 59 peratus daripada keseluruhan hutan paya bakau negara.

Jelasnya, Malaysia turut akan menganjurkan Mesyuarat Kedua ASEAN Coordinating Task Force on Blue Economy serta Forum Ekonomi Biru ASEAN di Kota Kinabalu pada penghujung September ini, bersempena Kepengerusian ASEAN 2025.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Anna Bell pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara.

ROSLINA BINTI DIN