KUALA LUMPUR, 27 Ogos - Gempa bumi lemah berukuran 3.2 mengikut Skala Richter yang berlaku di Segamat, Johor pada pukul 8.59 pagi tadi berpunca daripada Zon Sesar Mersing dan merupakan gempa susulan daripada kejadian pada 24 Ogos lalu.
Demikian menurut Analisis Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).
Gempa pada kedalaman 10 kilometer itu berpusat di koordinat 2.33 darjah Utara dan 102.79 darjah Timur, iaitu kira-kira 18 kilometer dari selatan Segamat dengan gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Johor dan selatan Pahang.
"Orang ramai tidak perlu bimbang kerana gempa bumi yang berlaku berada pada magnitud lemah," menurut MET Malaysia dalam satu kenyataan.
Jabatan itu akan terus memantau keadaan dan perkembangan gempa bumi ini serta mengeluarkan makluman dari semasa ke semasa.
Maklumat terkini mengenai cuaca dan gempa bumi boleh diperoleh melalui laman web rasmi, aplikasi mudah alih myCuaca serta media sosial MET Malaysia atau dengan menghubungi talian 1300-22-1638.
Pada 24 Ogos lepas, gempa bumi lemah menggegarkan Segamat pada pukul 6.13 pagi dengan kekuatan 4.1 mengikut Skala Richter, disusuli gegaran kedua pada pukul 9 pagi di Yong Peng, 28 kilometer (km) Barat Laut Kluang dengan magnitud 2.8 Skala Richter pada kedalaman 10 km.