
KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang 2026 telah diperluas ke sekurang-kurangnya 30 kawasan dan kluster di seluruh negara bagi menggalakkan penyertaan lebih ramai rakyat dalam mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang Bulan Kebangsaan.
- Inisiatif diperluas kepada pejabat, premis perniagaan, sekolah dan universiti untuk tingkatkan penyertaan rakyat mengibarkan Jalur Gemilang.
- JaPen manfaatkan platform seperti Info On Wheels, Kembara Merdeka Jalur Gemilang dan PENTARAMA x Kelab Malaysiaku untuk kempen Kibar Jalur Gemilang.
- 1,878 Komuniti MADANI digerakkan untuk laksanakan program komuniti menyemai semangat patriotik dan menyampaikan mesej kempen secara lebih menyeluruh.
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), Erwin Khairul Ahmad berkata, pelaksanaan inisiatif itu melibatkan pelbagai kluster termasuk kementerian, perniagaan, pendidikan dan komuniti.
Menurut beliau, inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang tidak terhad kepada kediaman semata-mata, sebaliknya diperluas ke pejabat, premis perniagaan, institusi pendidikan dan pelbagai lokasi lain bagi meningkatkan penyertaan rakyat dalam mengibarkan Jalur Gemilang.
“Kita mahu setiap rakyat Malaysia menyemai semangat cintakan negara dan perasaan itu perlu diterjemahkan dengan mengibarkan Jalur Gemilang.
“Jangan beranggapan tidak mengapa jika kita tidak mengibarkannya kerana orang lain sudah berbuat demikian. Kita melihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semangat untuk mengibarkan Jalur Gemilang semakin berkurangan.
“Kita menyeru rakyat Malaysia untuk mengibarkan Jalur Gemilang di setiap premis, bukan hanya di rumah, tetapi juga di pejabat, premis perniagaan, sekolah dan universiti,” katanya.
Bagi menjayakan kempen Kibar Jalur Gemilang, JaPen akan memanfaatkan pelbagai platform komunikasi, termasuk menerusi program Info On Wheels, Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) serta PENTARAMA x Kelab Malaysiaku.
Selain itu, sebanyak 1,878 Komuniti MADANI di seluruh negara turut digerakkan bagi melaksanakan pelbagai aktiviti di peringkat komuniti dalam usaha menyampaikan mesej kempen secara lebih menyeluruh kepada masyarakat.
“Sebanyak 1,878 Komuniti MADANI di seluruh negara akan turut terlibat dalam melaksanakan program berskala kecil di peringkat komuniti masing-masing.
“Ini merupakan program rakyat yang disediakan untuk rakyat, begitu juga menerusi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG), kita akan mengembara ke seluruh negara seperti yang dilaksanakan setiap tahun ke lokasi-lokasi tertentu bagi menyemai semangat patriotik.
Jabatan Penerangan akan terus menggunakan pelbagai platform, pendekatan dan strategi untuk mendekati masyarakat,” katanya.
Beliau ditemui media selepas Majlis Kibarkan Jalur Gemilang: Kesejahteraan Dinikmati di sini, hari ini.
Majlis anjuran Kementerian Komunikasi menerusi JaPen dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi itu merupakan antara pengisian utama Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.