fb fb fb fb fb

Influenza: Penggunaan katil wad kanak-kanak di Johor meningkat

JOHOR BAHRU, 20 Julai- Penggunaan katil di 13 hospital kerajaan di negeri ini masih lagi terkawal, pada kadar 76% daripada keseluruhan 5,307 katil yang ada.

Bagaimanapun menurut Exco Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon, terdapat pertambahan penggunaan katil di wad kanak-kanak berikutan peningkatan kes influenza (ILI) dan jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) dalam kalangan mereka.

Johor mencatatkan peningkatan lima peratus kadar kes ILI dan URTI dalam kalangan kanak-kanak yang memerlukan mereka mendapatkan rawatan di hospital.

"Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) sedang mengumpulkan data terbaharu situasi terkini di wad kanak-kanak negeri ini," katanya.

Beliau ditemui media selepas mesyuarat menaiktaraf Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini hari ini.

(Ling Tian Soon)

Tian Soon berkata penggunaan katil khusus COVID-19 pula meningkat pada kadar 22% bagi minggu epid 28, manakala katil khusus ICU COVID-19 juga bertambah kepada 17.5%.

Pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) meningkat daripada tiga pesakit pada minggu epid 27 kepada enam pesakit pada minggu epid 28.

"Saya rasa semua pihak kesihatan, semua hospital mereka ada pengalaman semasa berdepan pandemik COVID-19. Sekarang kita dah tahu macam mana nak buat persiapan menghadapi varian yang baharu," katanya.

Ditanya mengenai perancangan menambah baik sistem parkir kenderaan di HSA, beliau memaklumkan pihak konsesi terlibat akan membentangkan perancangan tersebut minggu hadapan.

Ini termasuk usaha menambah 70 lot parkir baharu berdekatan bangunan utama HSA, bagi menampung 920 lot sedia ada.

Sebelum ini kerajaan negeri memperuntukkan RM200,000 bagi menurap semula laluan masuk ke HSA, selain inisiatif mengindahkan kawasan sekitar bangunan hospital berkenaan.

Media Baharu