fb fb fb fb fb

Harga minyak masak botol dijangka turun dalam masa terdekat - KPDNHEP

KUALA LUMPUR, 20 Julai- Harga minyak masak botol dijangka turun dalam masa terdekat.

Perkara tersebut dijelaskan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Ia susulan penurunan harga minyak masak mentah daripada RM7,000 per tan metrik kepada RM3,600 per metrik tan minggu ini.

"KPDNHEP bersama kementerian lain akan bersama dalam Pasukan Khas Jihad Inflasi yang dipengerusikan oleh Tan Sri Annuar Musa. Segala libat urus yang kita jalankan bersama pihak-pihak lain akan memberi kesan penurunan pada harga minyak masak dan barangan keperluan lain," kata Alexander kepada pemberita RTM dalam sidang media selepas perhimpunan bulanan kementeriannya, hari ini.

Tambah Nanta, KPDNHEP akan meneruskan strategi lima serampang ini dalam usaha menangani inflasi dan kos sara hidup yang sedang dihadapi negara dan rakyat.

Sementara itu, Nanta dalam ucapannya berkata insentif pengurangan kompaun menerusi Akta Syarikat 1965 (Akta 125) yang dilaksanakan bagi tempoh bermula 1 Mac 2022 hingga 30 Jun 2022 akan dilanjutkan untuk empat bulan lagi berkuat kuasa mulai 1 Julai 2022 hingga 31 Oktober 2022.

Menyelami kesukaran komuniti perniagaan yang rata-rata masih bergelut untuk kembali bangkit daripada kesan pandemik COVID-19, SSM mengambil langkah melanjutkan insentif ini untuk empat bulan lagi berkuat kuasa mulai 1 Julai 2022 hingga 31 Oktober 2022.

“Bersandarkan insentif ini, syarikat dan pengarah syarikat layak mendapat pengurangan 90% daripada nilai asal kompaun yang ditawarkan mengikut Akta 125. Mengikut rekod semasa, sebanyak 1,578 syarikat menikmati pengurangan kompaun sejak inisiatif ini diperkenalkan,” tambah beliau lagi.


(Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bersama Timbalannya, Datuk Rosol Wahid
menghadiri Perhimpunan Bulanan KPDNHEP Bulan Julai 2022 hari ini di ibu negara, hari ini)

 

Media Baharu