KUALA LUMPUR, 22 Ogos - Inflasi Malaysia meningkat 1.2 peratus pada Julai 2025 dengan mata indeks mencatatkan 134.7 berbanding 133.1 pada tempoh sama tahun lalu.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan itu dipacu oleh kumpulan insurans dan perkhidmatan kewangan yang melonjak kepada 5.5 peratus, berbanding 1.5 peratus pada bulan sebelumnya.
“Inflasi turut didorong oleh restoran & perkhidmatan penginapan (3.1%) serta Pengangkutan (0.4%) yang masing-masing mencatat kadar lebih tinggi berbanding Jun 2025,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, subkumpulan makanan di luar rumah kekal tinggi pada 4.3 peratus, manakala makanan di rumah menurun kepada 0.3 peratus.
Sementara itu, penjagaan diri, perlindungan sosial & pelbagai barangan dan perkhidmatan serta perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain turut menyumbang kepada kadar inflasi Julai
Menurut Uzir, sebanyak 58.3 peratus kepada 334 item daripada 573 merekodkan kenaikan harga.
"Daripada jumlah itu, 322 item (96.4%) menunjukkan peningkatan kurang atau sama dengan 10 peratus, manakala hanya 12 item mencatatkan kenaikan melebihi 10 peratus." jelasnya dalam kenyataan sama.