PUTRAJAYA, 22 Ogos - Orang ramai diseru agar tidak takut atau gusar menzahirkan semangat patriotisme dengan mengibarkan Jalur Gemilang.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, meskipun timbul pelbagai isu berkaitan bendera kebangsaan baru-baru ini, rakyat tetap digalakkan untuk mengibarkannya dengan penuh rasa semangat dan bangga.
“Kibarkanlah Jalur Gemilang dengan rasa selamat kerana ia adalah tanggungjawab patriotik kita sebagai rakyat Malaysia. Bulan ini adalah milik semua rakyat untuk menyemarakkan kembali semangat cinta kepada negara,” katanya.
Menurutnya, berhubung isu pelanggaran peraturan berkaitan Jalur Gemilang, kerajaan memberi jaminan akan melaksanakan penguatkuasaan undang-undang secara adil dan telus.
Justeru, rakyat diingatkan agar tidak melakukan sebarang tindakan di luar batas undang-undang.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik Kementerian Komunikasi sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM 2025) di Putrajaya.