fb fb fb fb fb

Rakyat berhak berhimpun di hadapan Parlimen - PM

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan pendirian itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PUTRAJAYA, 22 Ogos - Sebarang perhimpunan aman di hadapan bangunan Parlimen tidak perlu dihalang.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan pendirian itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang turut menolak cadangan untuk memindahkan lokasi himpunan ke Padang Merbok. Perdana Menteri berkata rakyat mempunyai hak untuk berhimpun termasuk di hadapan Parlimen.

Bagaimanapun, mana-mana individu yang ingin menyertai sebarang bentuk himpunan perlu memberi keutamaan terhadap aspek keselamatan serta lalu lintas di kawasan berkenaan.

“Kerjasama dengan pihak polis perlu bagi memastikan aspek keselamatan. Namun, cadangan memindahkan lokasi himpunan ke Padang Merbok ditolak Perdana Menteri. Beliau menegaskan rakyat mempunyai hak untuk berhimpun termasuk di hadapan Parlimen, dengan keutamaan diberikan kepada keselamatan dan kawalan lalu lintas,” katanya.

Dalam masa sama, Perdana Menteri turut mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa untuk meneliti pagar di sekitar Padang Merbok bagi tujuan penambahbaikan.

“Langkah ini bertujuan memastikan orang ramai dapat menggunakan Padang Merbok dengan lebih baik. Untuk maklumat lanjut mengenai status, boleh dirujuk kepada Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Zaliha,” jelas Datuk Fahmi.

Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya, hari ini.

TUN JULIA MOHD TAHIR