fb fb fb fb fb

Tajaan lebih RM22 juta semarakkan HKHM 2025

Datuk Fahmi Fadzil pada Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik Kementerian Komunikasi sempena HKHM 2025.

PUTRAJAYA, 22 Ogos - Lebih RM22 Juta tajaan melibatkan 113 rakan strategik diperoleh sempena Sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya pada 31 Ogos dan Hari Malaysia di Pulau Pinang pada 16 September ini (HKHM 2025).

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, jumlah itu merangkumi RM1.9 juta dalam bentuk wang tunai dan RM20.24 juta dalam bentuk barangan serta perkhidmatan.

Beliau yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk HKHM 2025 itu berkata, ia sekaligus menyaksikan peningkatan hampir lima kali ganda berbanding tahun lalu.

Kerjasama itu membuktikan sokongan padu sektor korporat, swasta, badan berkanun, badan bukan kerajaan serta seluruh rakyat Malaysia bersama kerajaan dalam menyemarakkan sambutan HKHM 2025 tanpa mengira latar belakang.

“Semua tajaan wang tunai disalurkan ke Akaun Amanah Sekretariat Merdeka (AASM) dan akan digunakan bagi tujuan persiapan sambutan HKHM.

“Manakala tajaan dalam bentuk barangan pula akan diedarkan oleh Pasukan Sukarelawan Kementerian Komunikasi kepada orang ramai yang menghadiri sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya serta Hari Malaysia di Dewan PICCA, Butterworth, Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik Kementerian Komunikasi sempena HKHM 2025 di Putrajaya.

Datuk Fahmi Fadzil turut memaklumkan, Kementerian Kewangan telah meluluskan penganjuran HKHM 2025 sebagai projek berkepentingan nasional di bawah subseksyen 44(11C) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Sehubungan itu, semua penyumbang layak menuntut potongan cukai pendapatan berkuat kuasa 1 Mei hingga 16 September 2025, dengan had maksimum RM20 juta.

Selain sumbangan tunai, individu dan syarikat yang menyalurkan barangan atau perkhidmatan juga boleh menuntut potongan sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat bagi tahun taksiran semasa.

"Saya percaya pemberian insentif ini akan menjadi pemangkin penglibatan sektor korporat dan swasta akan lebih meluas sekaligus meningkatkan skala keberkesanan penganjuran HKHM," ujarnya.

TUN JULIA MOHD TAHIR