KUALA LUMPUR, 22 Ogos - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan siasatan telus dan berintegriti akan dilaksanakan berhubung kes melibatkan kematian pelajar Zara Qairina Mahathir bulan lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menegaskan, PDRM sentiasa komited memastikan undang-undang ditegakkan secara lunas undang-undang.
Beliau turut berharap masyarakat dapat menerima tindakan yang diambil pihaknya dan tidak menimbulkan kekeliruan yang boleh mengganggu proses perundangan
"Kita sebagai penguat kuasa sentiasa melaksanakan penugasan dengan baik berintegriti dan telus bagi memastikan bahawa undang-undang itu ditegakkan.
"Paling saya khuatir pada ketika ini adalah tindakan segelintir rakyat yang sentiasa inginkan populariti mengeluarkan perkara-perkara ataupun menularkan isu-isu yang berkaitan dengan kes zara ini melalui video-video pendek Tik Tok dan sebagainya sekaligus memberikan gambaran yang tidak betul tentang kes-kes yang sedang berjalan ini.
"Tindakan kita adalah menyiasat, kita membuat segala perkara yang telah ditetapkan mengikut lunas undang-undang, Prosedur Operasi Standard (SOP) juga kita telah laksanakan," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini.
Tambah Datuk Seri Mohd Khalid, ketika ini lima pelajar telah didakwa berhubung kes berkenaan dan pihaknya menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan bentuk kesalahan serta keputusan undang-undang.
Bagi memastikan siasatan berjalan lancar juga, beliau memaklumkan sebuah pasukan khas turut ditubuhkan melibatkan sembilan pegawai dari Bukit Aman yang tanggungjawab untuk meneliti semua aspek, yang mungkin timbul dalam proses kes berkenaan
Selain itu, prosiding inkues diadakan bagi memastikan penelitian menyeluruh terhadap kes berkenaan sekaligus mengelakkan sebarang isu yang boleh mengganggu gugat tenteraman awam.
Mengenai tindakan kepada pegawai penyiasat kes berkenaan, Datuk Seri Mohd Khalid menegaskan pegawai penyiasat serta penyelia dalam siasatan kes kematian pelajar terbabit berdepan tindakan tatatertib, sekiranya dikesan berlaku pelanggaran prosedur ditetapkan.
Katanya, ketika ini siasatan untuk kes tersebut sudahpun dimulakan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman bersama pasukan khas yang ditubuhkan bagi kes berkenaan.