PUTRAJAYA, 22 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima Deklarasi Majlis Cendekiawan MADANI Malaysia-Indonesia 2025, yang dirumus sebagai dokumen penting cendekiawan kedua-dua negara bagi menyokong agenda MADANI yang digagaskan beliau.
Deklarasi lima tonggak itu diserahkan oleh Pengerusi Pusat Dialog dan Kerjasama Antara Tamadun, Republik Indonesia, Profesor Dr. M. Din Syamsuddin dalam satu majlis ringkas di Masjid Putra.
Antara intipatinya, MADANI diangkat sebagai wawasan alternatif peradaban sejagat, menekankan potensi perkembangan peradaban Melayu-Islam, keseimbangan alam sekitar mengatasi eksploitasi, serta pemulihan psikologi individu dan masyarakat.
Ia turut menegaskan kepentingan mengembalikan sektor halal dan kewangan Islam kepada sistem ekonomi yang adil, sesuai dengan fitrah, serta meraikan kepelbagaian peradaban.
Perdana Menteri turut menyifatkan deklarasi itu sebagai satu rangkuman yang baik dan relevan dengan usaha membina generasi MADANI.
Terdahulu, beliau yang diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menunaikan solat Jumaat bersama lebih 4,000 jemaah di Masjid Putra, yang dipimpin Imam Besar, Dr Muhammad Zakuwa Rodzali.
Selepas solat, Datuk Seri Anwar turut bersalaman dan beramah mesra dengan para jemaah sebelum beredar.